Kesemua pasukan yang bertanding dalam saingan Cub Prix -- khususnya kategori CP150 -- akhirnya mencapai persetujuan dalam perubahan teknikal yang bakal dilaksanakan bermula dalam pusingan kelima di Litar MAEPS, Serdang 15 Julai ini.

Mesyuarat teknikal yang berlangsung semalam dihadiri lebih 25 wakil pasukan yang bersaing dalam saingan Cub Prix.

Pihak penganjur mahu melaksanakan perubahan ekoran perlumbaan CP150 setakat ini tampak dikuasai pasukan yang menggunakan jentera Yamaha.

Antara perubahan yang bakal dilaksanakan adalah mengurangkan kelajuan jentera di samping alat-alat ganti jentera yang perlu mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Persetujuan yang mungkin mengejutkan tetapi kami berharap perubahan ini akan diterapkan dalam pusingan seterusnya.

"Selepas itu, kami akan memutuskan sama ada perlunya lagi untuk membuat sebarang perubahan," kata Pengarah Promosi Safe AIM Mutual (SAM), Ron Hogg.

Kategori CP150 diperkenalkan buat pertama kali musim ini dengan hanya dua jentera digunakan, Yamaha dan Honda.

Perubahan teknikal ini juga masih dipantau dan akan kembali dibincangkan selepas pusingan ketujuh di Melaka, September depan.

"Bagi saya, ia bukan satu masalah, ia tidak akan memberi kesan yang banyak," ujar Pengurus SCK Honda Racing, Soong Chee Keong.

Sementara itu, Pengurus Petronas Sprinta Yamaha CKJ, Michael Chai berpendapat perubahan teknikal itu satu perkembangan positif.

"Secara keseluruhan, perubahan teknikal ini baik untuk Cub Prix kerana setiap pengeluar ada kekuatan dan kelemahan masing-masing," tambahnya.