Juara CP130 2016, Kasma Daniel Kasmayudin, menepati statusnya sebagai pelumba pilihan apabila muncul pemenang pertama kategori CP150 yang baharu diperkenalkan, dalam Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, hari ini.

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu yang bermula dari petak kedua, mengetepikan seorang lagi pelumba pilihan, Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) sebaik bermula untuk mendahului kedudukan dari awal sebelum berjaya menamatkan 20 pusingan dengan masa keseluruhan 14’38.563s.

“Saya memulakan perlumbaan dengan baik dan dapat mendahului pelumba-pelumba lain.

"Selepas itu, saya cuba untuk lari dari kelompok kedua yang mempunyai ramai pelumba dan seterusnya mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat,” kata Kasma.

“Kemenangan ini amat penting bagi saya untuk mengutip mata maksimum dalam dua pusingan terawal musim ini memandangkan saya juga akan beraksi di Sepanyol dan mungkin pertindihan jadual menyebabkan saya tidak dapat beraksi dalam beberapa pusingan Cub Prix. Saya menghadiahkan kemenangan ini kepada pasukan, penaja, keluarga dan rakan-rakan.”

Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham, yang bijak menggunakan peluang setelah berlaku insiden kemalangan di antara Zaqhwan dan Mohd Fitri Ashraff Razali (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) ketika bersaing untuk merebut kedudukan kedua dan ketiga.

Fazli menamatkan perlumbaan dengan masa 14’38.563s diikuti Zaqhwan ketiga, 14’42.864s.

Saingan kelas CP115 menyaksikan persaingan sengit pada peringkat awal di antara duo PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dan Motul Zeneos Yamaha YY Pang sebelum kemenangan menjadi milik juara bertahan, Md Akid Aziz, diikuti rakan sepasukan, Md Haziq Md Fairues.

Akid menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11’22.325s, diikuti Haziq, 11’23.145s. Tengku Amirul Haffirudin ketiga dengan masa 11’32.175s.

Dalam perlumbaan kelas Wira, pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing meneruskan penguasaan untuk memburu gelaran juara keseluruhan buat kali keempat berturut-turut apabila Saiful Azhary Muhamad muncul juara dengan masa keseluruhan 9’23.448s, diikuti duo PETRONAS Sprinta Yamaha – AFB Tech, Md Danial Syahmi dan Md Aiman Tahiruddin, masing-masing dengan masa 9’26.203s dan 9’26.615s.