Program pembangunan sukan permotoran negara dirancakkan dengan jalinan kerjasama di antara pihak promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dengan tumpuan terhadap pelumba kategori Wira yang dikenali Wira KBS, bermula dengan pusingan pertama di Temerloh, Pahang, esok dan lusa.

“Kami mengalu-alukan kerjasama dan penglibatan KBS bersama Kejuaraan Cub Prix pada tahun ini dan berharap kerjasama ini akan dapat membantu pembangunan pelumba motosikal di Malaysia secara berterusan," kata Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg.

"Kategori Wira selama ini menjadi pemangkin yang merubah seluruh industri perlumbaan motosikal sejak mula diperkenalkan pada 2002. Bakat-bakat pada usia belasan tahun dapat dicungkil. Purata umur pelumba Cub Prix dapat dikurangkan dengan penyertaan pelumba seawal usia 13 tahun."

Antara pelumba terkemuka yang pernah beraksi dalam kategori Wira termasuk pemenang dua perlumbaan Moto3, Khairul Idham Pawi, dan juara SuperSports 600cc Asia yang juga bekas pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman.

Bagaimanapun, Ron menegaskan tidak ada peraturan khusus yang ditetapkan dalam perjalanan dan pembangunan karier pelumba.

"Kelas Wira selalunya adalah kategori buat pelumba belasan tahun yang belum bersedia atau belum menyerlah bakat mereka untuk ke peringkat lebih tinggi.

"Ia sebagai langkah pertama untuk menceburkan diri dalam perlumbaan terbuka. Pelumba seperti Khairul Idham, selepas beraksi dalam kategori Wira, dia terus menyertai perlumbaan antarabangsa tanpa beraksi dalam kelas lebih tinggi di peringkat kebangsaan.

"Sementara itu, Hafizh Syahrin Abdullah pula terus melangkau ke kelas CP115 tanpa beraksi dalam kelas Wira terlebih dahulu. Namun, tidak diragui kelas Wira memainkan peranan penting sebagai medan untuk mencungkil bakat sukan permotoran negara," tambah Ron.