Cub Prix: Honda Yuzy perlu perkasa jentera demi kekal pendahuluan

Shaiful Shamsudin
Oktober 1, 2021 13:15 MYT
Perebutan podium Kejuaraan Cub Prix 2021 semakin hangat apabila pusingan kelima dan keenam bakal berlangsung di Terengganu, hujung minggu ini, yang akan menyaksikan pelumba Honda Yuzy, Azroy Hakeem Anuar, memimpin saingan CP150.
Bagaimanapun, selepas tamat pusingan kelayakan, Azroy berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, bahawa jenteranya mengalami masalah yang mungkin menjadi penghalangnya untuk memanjat podium.
Azroy menyuarakan kebimbangan itu selepas pusingan kelayakan CP150, petang tadi, yang menyaksikannya mencatat masa 49.304 saat untuk meletakkannya di kedudukan kedua di belakang pelumba OneXOX TKKR, Akid Aziz.
Azroy kini menghuni kedudukan pertama keseluruhan dengan 58 mata.
Begitupun, dia diekori rapat oleh pelumba Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Bahauddin, dan seorang lagi pelumba OneXOX TKKR, Muzakkir Mohamed.
Walaupun tidak berjaya meraih podium dalam pusingan keempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azroy tetap optimis mampu menjuarai pusingan kelima di trek perlumbaan Terengganu.
Di samping itu, Pengarah Penganjur Cub Prix, Ron Hogg, sedia menerima kehadiran penonton di litar, bermula pusingan ketujuh termasuk kelapan yang dirancang dianjurkan di Tangkak, Johor.
Pusingan kesembilan dan ke-10 pula bakal berlangsung di SIC.
"Jadual perlumbaan selebihnya sudah ditetapkan pada November dan Disember depan.
"Kami mahu pastikan kehadiran peminat," katanya.
Bagaimanapun, peminat sukan permotoran tanah air, tidak perlu menunggu hingga dua bulan lagi memandangkan Kejohanan MSBK pada 15 hingga 17 Oktober ini sudah bersedia menerima penonton.
#Cub Prix