Mohd Adib Rosley mencipta kejutan pada minit terakhir apabila menggungguli sesi ujian masa kategori yang baharu diperkenalkan pada tahun ini, CP150, pada hari pertama Pusingan 1, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 di Temerloh, Pahang, hari ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu mencatat masa terpantas 43.552s, hanya 0.001s di hadapan Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang mencatat 43.523s, diikuti juara CP130, Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan masa 43.588s.

Kasma terlebih dahulu mencatat masa terpantas 44.604s pada sesi latihan bebas pertama manakala Zaqhwan menguasai sesi latihan bebas kedua dengan masa 43.886s.

“Saingan kategori CP150 ini agak mencabar kerana jentera yang berkuasa lebih tinggi dan agak sukar untuk dikawal. Catatan masa juga sangat hampir dan saya jangkakan perlumbaan akhir nanti sangat sengit dan mencabar,” jelas Adib.

"Untuk perlumbaan akhir nanti, saya akan mencuba yang terbaik untuk menamatkan perlumbaan di atas podium," tambahnya.

Dalam saingan CP115, juara musim 2016, Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) muncul pelumba terpantas dengan catatan 45.012s, diikuti dua pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang, Md Fareez Afeez dan Tengku Amirul Haffirudin, masing-masing dengan catatan 45.289s dan 45.535s.

Sementara itu, dalam kategori Wira KBS, gandingan pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing, Md Anuar Ibrahim Pawi dan Saiful Azhary Muhamad, bakal memulakan perlumbaan dari petak pertama dan kedua dengan catatan terpantas sesi Shootout 45.486s dan 45.885s, diikuti Md Afizi Supaat, 46.412s.