Persaingan di antara dua jentera Supercub, Honda RS150R dan Yamaha 15ZR, dalam kategori CP150 dijangka menjadi perhatian dalam perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 di Temerloh, Pahang, 4-5 Mac ini.

Dalam sesi ujian pra-musim yang berlangsung di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC) baru-baru ini, prestasi kedua-dua jentera ini agak seimbang dengan tujuh pelumba terpantas mencatat masa yang tidak jauh berbeza.

Pendatang baru kelas perdana, Onexox TKKR Racing, mengungguli sesi apabila naib juara kelas wira 2016, Md Helmi Azman, muncul pelumba terpantas dengan catatan 1'2.535s, diikuti juara CP130 2017, Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Yamaha Maju Motor) yang mencatat masa 1'2.624s.

Pelumba baru pasukan Hi-Rev Rapido SCK Racing, Fakhrusy Syakirin Rostam, melakukan catatan ketiga terpantas dengan masa 1'2.910s.

Menurut promoter kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), pertukaran kategori ini merupakan satu cabaran besar kepada pasukan dan pelumba.

“Kami akan melakukan semakan semula peraturan teknikal perlumbaan pada Mei dan Julai nanti untuk mengemaskini sebarang kelemahan yang ada,” kata Pengarah SAM Sdn Bhd, Ron Hogg.

"Kelas CP150 ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan kategori CP130 sebelum ini. Setiap pasukan memerlukan masa sebelum mereka mendapatkan potensi sepenuhnya jentera ini.

"Semua pengurus pasukan bersetuju untuk mengadakan perbincangan semula tentang peraturan perlumbaan selepas Pusingan 4 dan Pusingan 7 nanti."

Tambah Ron: “Perkara seperti ini jarang dilakukan. Bagaimanapun, ia penting kerana apa yang dipraktikkan ketika ini adalah berpandukan teori."

"Keberkesanan peraturan teknikal ini dapat dinilai dengan lebih tepat apabila di litar. Objektif semakan semula ini adalah untuk memastikan perlumbaan lebih seimbang dan memastikan persaingan yang kekal sihat dan menarik."