Kejohanan Menembak Piala Presiden Ally Ong yang sepatutnya berlangsung selama enam hari bermula Selasa lalu terpaksa dihentikan ekoran penularan wabak Covid-19.

Saingan itu sepatutnya menjadi medan buat penembak melengkapkan empat kuota penglibatan kejohanan tempatan dengan mempamerkan aksi memberangsangkan dalam misi membarisi skuad kebangsaan terutama buat pelapis negara ke Sukan Malaysia (Sukma) yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan di Johor.

Persatuan Menembak Malaysia (NSAM) membuat keputusan untuk membatalkan kejohanan yang berbaki dua hari lagi melibatkan 270 peserta dari serata negeri itu selepas menerima notis menyeluruh daripada pesuruhjaya sukan, kelmarin.

"Kami hentikan kerana telah menerima surat daripada pesuruhjaya sukan. Kemudian, kami buat keputusan. Saya rasa kami telah ambil satu tindakan yang betul," kata ahli jawatankuasa NSAM, Datuk Musa Omar.

Dalam masa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan penundaan atau pembatalan satu lagi kejohanan menembak, Piala Tun Hanif, yang dijadualkan bulan depan.

"Kalau Covid-19 pulih, kami akan masukkan kejohanan lain. Kalau Sukma tangguh dan Covid-19 masih belum pulih, kami akan tunda."