Covid-19: MABA tangguh strategi kebangkitan

Shaiful Shamsudin
April 12, 2020 12:24 MYT
Usaha Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) mengembalikan keghairahan selepas kegagalan dalam Sukan SEA 2019 terbantut.
Ia membabitkan mesyuarat agung (AGM) bagi menentukan kepimpinan baru serta program latihan kem kebangsaan lelaki dan wanita.
"Ia terpaksa ditunda ke tarikh yang masih belum diketahui lagi.
"Sebaik kami boleh kembali ke pejabat, barulah kami akan dapat hantar kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi mengadakan tarikh AGM," kata Timbalan Setiausaha Agung MABA, Sim Sin Heng, ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, hari ini.
Kejohanan paling penting dalam kalendar domestik MABA adalah saingan Piala Agong yang lazimnya dianjurkan pada hujung tahun lalu.
Bagaimanapun, MABA terpaksa menyusun jadual pasca wabak novel koronavirus (Covid-19) dengan mengambil kira tarikh baru Sukma.
"Sukma yang sepatutnya diadakan Julai depan sudah pun ditunda, paling awal akan dianjurkan Disember depan.
"Jadi kalau ia berlaku, kami perlu mengelakkannya (daripada bertembung)."
#Persatuan Bola Keranjang Malaysia #MABA #Covid-19