Kriket Afrika Selatan (CSA) telah menggantung semua perlawanan selama 60 hari berikutan garis panduan baru peringkat kebangsaan bagi tujuan menangani wabak koronavirus baru (Covid-19).

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, mengharamkan semua perhimpunan awam yang terdiri daripada 100 orang atau lebih selain mengenakan kawalan sempadan yang ketat setelah jumlah kes psoitif di negara itu mencapai 64 orang.

Oleh itu, CSA bertindak membatalkan semua perlawanan kriket baik di peringkat remaja, amatur hingga perlawanan kelas pertama.

Ketua eksekutif CSA, Dr Jacques Faul, dalam satu kenyataan berkata: "Kami di CSA mengambil serius arahan presiden dan kabinet dan kami pasti akan menggunakan kemampuan kami bagi membantu mengekang penularan wabak di tempat kami.

"Dalam tempoh waspada dan pengawasan ini, kami menyeru semua anggota dan ahli gabungan kami supaya berhenti daripada mengambil bahagian dalam mana-mana perhimpunan yang berkaitan dengan kriket dan acara-acara lain yang melibatkan orang ramai atau sehingga 100 orang."

Pasukan senior Afrika Selatan tidak akan beraksi sehingga lawatan ke West Indies pada hujung Julai depan manakala Siri ODI menentang India bulan ini telah ditangguhkan.