Kanada melaporkan lima kes COVID-19 dalam kem Sukan Olimpik Musim Sejuk mereka di Beijing.

Nama mereka yang dijangkiti belum dikeluarkan malah tidak dinyatakan adakah mereka terdiri daripada atlet mahupun kakitangan belakang tadbir, atau kedua-duanya.

Upacara Pembukaan temasya Beijing 2022 bakal berlangsung Jumaat depan dengan dua acara iaitu ski gaya bebas dan hoki ais bermula dua hari lebih awal.

Jawatankuasa Olimpik Kanada berkata dalam satu kenyataan: "Pada masa ini lima daripada 246 ahli delegasi pasukan Kanada di Beijing menjalani protokol COVID-19.




"Kami mematuhi segala peraturan Beijing 2022. Sebahagian daripada strategi kami tiba lebih awal adalah bagi memberi masa untuk kami menjalani ujian pengesahan dan jika perlu, proses panel pakar perubatan dijalankan.

"Oleh kerana berkemungkinan akan ada lagi kes kontak rapat yang dikesan dalam kalangan delegasi, pada masa ini kami tidak akan mendedahkan nama mereka. Sama ada ia terdiri daripada atlet, jurulatih mahupun pasukan misi."

Mereka mungkin telah pulih dan ia tidak lagi menular, tetapi saki-baki virus masih lagi ada dalam badan mereka.

Buku panduan peraturan Sukan Beijing menggariskan peraturan COVID-19 bagi atlet ialah, mereka yang disahkan positif akan dibawa ke hospital yang ditetapkan jika bergejala atau ke kemudahan kuarantin seandainya tidak menunjukkan sebarang tanda.

Kanada mempunyai tradisi gemilang dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk yang menyaksikan mereka menduduki tempat ketiga dalam edisi di Pyeongchang, Korea Selatan, pada 2018.

Penularan pandemik ini tercetus sehari selepas juara skiatlon dari Norway, Simen Hegstad Kruger, disahkan positif.