Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini menyaksikan pemain skuasy lelaki terbaik negara, Ng Eain Yow, yang berpangkalan di Bristol, England, kehilangan pengalaman berharga untuk berlatih bersama pemain nombor satu dunia, Mohamed El Shorbagy.

Jaguh negara itu mula berpangkalan di Bristol secara sepenuh masa sejak penghujung tahun lalu dan hanya pulang ke tanah air sebelum Kerajaan Malaysia mengumumkan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac lalu.

"Saya mendapatkan banyak peluang untuk berlatih dengan pemain di ranking yang lebih tinggi.

"Sekali atau dia kali seminggu, saya dapat berlatih dengan pemain nombor satu dunia, Mohamed El Shorbagy, atau adiknya, Marwan, yang kini berada di ranking nombor lapan dunia.

"Jadi, saya amat gembira dengan perkembangan saya sepanjang lima atau enam bulan ini," katanya.

Eain Yow, bagaimanapun, menegaskan bahawa dia merancang untuk segera pulang ke England sebaik pandemik global itu berakhir.

Bukan sahaja mahu keluar daripada zon selesa, dia turut berasakan program sepenuh masa di luar negara berupaya untuk membantunya memenuhi potensi dalam menjadi pemain elit dunia.

"Saya fikir sudah sampai masanya untuk saya keluar daripada zon selesa dan mula berpangkalan di luar negara.

"Pemain terdahulu seperti Nicol (David), Azlan (Iskandar) dan (Ong) Beng Hee, kesemuanya berpangkalan di luar negara.

"Mereka dapat meningkatkan keupayaan mereka dengan berada di luar negara.

"Jadi, saya fikir sudah sampai masanya untuk saya mengikut jejak mereka," tambahnya.