Pelumba berbasikal lebuh raya Perancis, Nans Peters, memberi amaran bahawa penggunaan bahan terlarang boleh dimanfaatkan dalam tempoh kawalan terhad ketika ini berikutan wabak novel koronavirus (Covid-19).

Peters, yang meraih kejayaan besar menerusi kemenangan sulungnya di peringkat Kejohanan Giro d'Italia tahun lalu selain menduduki tempat ketiga dalam acara ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020, mempersoalkan pendirian Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) ADAMS.

Atlet berusia 26 tahun itu mendedahkan kali terakhir dia dan pasukannya, AG2R La Mondiale, diuji WADA adalah pada 7 Oktober tahun lalu.

Dia dilaporkan perlu melakukan ujian darah oleh kesatuan Movement for Credible Cycling (MPCC) bagi mengesan bahan terlarang dalam perlumbaan di Paris-Nice bulan lalu, tetapi mendedahkan hanya pasukan tertentu sahaja yang diuji badan itu.

Seperti kebanyakan sukan, saingan berbasikal profesional telah digantung dalam krisis pandemik itu dengan Tour de France ditunda dua bulan lagi dan akan memulakan saingan pada 29 Ogos depan.

"Apa maksudnya? Terdapat dua pilihan," tulis Peters di laman sesawang peribadinya sambil menerangkan beberapa pemeriksaan doping yang harus ditempuhinya.

"Sama ada saya mempunyai profil yang sama sekali tidak mencurigakan, yang bermaksud saya jarang diuji, ini berlaku sejak saya mula beralih ke kancah profesional apabila saya hanya diuji sebanyak tiga hingga empat kali setahun.

"Atau, dan saya sangat takut untuk menyatakannya, tetapi dalam tempoh kawalan pergerakan ini, penggunaan bahan terlarang adalah sukar dikawal!!!!!

"Usahlah kita bersikap lurus bendul. Doping masih wujud, cuma ia berkurangan daripada era 1995 - 2005, tapi ia akan selalu ada!

"Adakah penipu bertindak bebas pada masa ini? Seolah-olah kita diberitahu, 'Adakah anda ingin menipu? Baiklah! Sudah tiba waktunya, lakukan apa mahukan dilakukan, guna (bahan terlarang) seperti yang diinginkan.

"Kemudian berlatih seperti orang gila di rumah sehingga 11 Mei depan sebagai persediaannya dan menghentikan segalanya (doping) apabila anda kembali untuk bersaing."


Yayasan Anti Doping Berbasikal, yang melakukan ujian ke atas sukan berbasikal profesional, Mac lalu menjelaskan mereka akan meneruskan usaha itu bagi memastikan sukan berbasikal adalah bersih (daripada skandal doping).

Mereka akan mengikut garis panduan WADA yang berkata ujian doping dalam tempoh Covid-19 ini hanya dijalankan apabila ia sesuai dan boleh dilakukan.

Peters menambah: "Saya khuatir dengan sukan ini, demi semangat apabila terpaksa bersaing dengan keldai pada akhir musim ini."