Pembantu jurulatih skuad bola keranjang Amerika Syarikat, Steve Kerr, berkata dia dan pengendali, Gregg Popovich, masih melakukan perancangan untuk Sukan Olimpik di Tokyo walaupun wabak coronavirus sedang menular.

COVID-19 terus memberikan kesan kepada industri sukan tatkala beberapa negara mengehadkan keluar masuk orang ramai tetapi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berkata Tokyo 2020 tetap akan berjalan seperti dirancang pada Julai depan.

Pihak NBA menangguhkan musim selepas beberapa pemain didapati positif COVID-19 sambil pengendali Golden State Warriors, Kerr, berkata pihak Amerika Syarikat melakukan perancangan sekiranya Sukan Olimpik diteruskan.

"Popovich dan saya telah berbincang beberapa kali sejak minggu lalu," katanya.

"Tiada sebarang petanda ia akan ditangguhkan atau sebagainya. Kami duduk di sini sambil menantikan perkembangan seterusnya sama seperti orang lain.

"Kami cuma merancang sekiranya ia diteruskan dan jika tidak, kami akan selaraskan jadual. Itu yang kami mampu lakukan."

Dua pemain Utah Jazz, Rudy Gobert dan Donovan Mitchell, merupakan pemain pertama NBA yang dijangkiti COVID-19 sambil Kevin Durant turut menyertai senarai itu.

Durant mengesahkan dia merupakan salah seorang daripada empat pemain Brooklyn Nets yang positif ketika ujian coronavirus.