Edwin Cocker dan Bradley Mika bukan nama asing dalam sukan rabgi dunia, apatah lagi kedua-duanya pernah mewakili pasukan gergasi, New Zealand, di pentas antarabangsa.

Skuad ragbi tujuh sepasukan lelaki negara pernah menggunakan khidmat Cocker beberapa kali, antaranya ketika Jelajah Auckland, bulan lalu sementara Bradley menjadi penasihat teknikal untuk Kejohanan Ragbi 15 Sepasukan Lelaki menjelang Kejohanan Ragbi Asia Diviseyn 1.

Bagaimanapun, kedua-duanya hanya berkhidmat separuh masa buat skuad ragbi kebangsaan dengan Crocker menjadi nasihat kepada Persatuan Borneo Eagles manakala Mika mempunyai kontrak sebagai jurulatih skuad Sabah.

"Kami perlu ada satu penjadualan. Ini kerana tidak adil untuk kami menarik mereka daripada pasukan Sabah yang sudah lama bekerjasama dengan mereka.

"Jadi, kami akan buat satu jadual agar mereka dapat mengimbangkan tanggungjawab mereka bersama Sabah dan skuad kebangsaan," kata Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahaya.

Selain itu, mesyuarat KRM yang diadakan kelmarin turut merangka perancangan rapi untuk skuad ragbi 15 sepasukan negara memandangkan mereka akan bersaing dalam Divisyen Perdana Ragbi Asia bersama-sama pasukan Hong Kong dan Jepun.

"Kami perlu melaksanakan beberapa perkara strategik, sebagai contoh persiapan pasukan 15 sepasukan yang bakal bersaing dalam Divisyen Perdana," tambah Shahrul Zaman.