Bekas kapten All Blacks, Edwin Cocker, bukan saja menjadi pembimbing NZ Borneo Eagles sehingga mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah, malah turut memainkan peranan penting sebagai pemain dalam aksi final, petang tadi.

Skuad pelapis New Zealand itu dinobat sebagai juara selepas menewaskan Tribe 7s dari Australia 19-14 dalam satu aksi final sengit di Padang Kelab Ragbi Eagles (ERC), Sandakan.

Cocker, 36, yang juga ketua jurulatih pasukan itu turut bermain dalam aksi final dan dia juga berjaya mendapatkan mata kemenangan buat pasukannya hasil try pada minit kelima babak kedua perlawanan.

Tribe 7s lebih dulu mendahului NZ Borneo Eagles 7-0 hasil satu try dan satu conversion, masing-masing menerusi Joe Pincus dan Joshua Coward.

Bagaimanapun, Jonathan Kuku menjadikan kedudukan terikat 7-7 selepas melakukan satu try dan satu conversion beberapa minit kemudian dan kedudukan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bermula separuh masa kedua, Coward kembali meletakkan Tribe 7s di hadapan apabila berjaya melakukan satu try dan seterusnya menyempurnakan conversion bagi menjadikan kedudukan 14-7.

Kelebihan Tribe 7s itu, bagaimanapun, berjaya dipadamkan NZ Borneo Eagles apabila Daniel Fransen berjaya melakukan satu try, disusuli dengan conversion daripada Kuku bagi menjadikan kedudukan terikat 14 sama.

Cocker kemudian memusnahkan harapan Tribe 7s untuk muncul juara apabila berjaya melakukan satu try bagi menjadikan kedudukan 19-14 dan kedudukan itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Ketika ditemui, Cocker berkata beliau tidak menjangkakan akan memenangi perlawanan akhir itu, namun hasil semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buahnya, mereka berjaya melakukannya.

Lebih manis lagi, NZ Borneo Eagles berjaya membalas dendam kekalahan 14-36 kepada Tribe 7s di peringkat kumpulan, semalam.

"Kami memberikan segalanya untuk perlawanan ini (final), saya rasa kekalahan kepada pasukan sama sebelum ini telah memberi kami banyak pengajaran untuk kami perbaiki," katanya.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan Penasihat Kesatuan Ragbi Sabah (SRU), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.