Tegas, penyayang, memahami dan semangat kental antara ciri-ciri legenda boling tenpin negara, Shalin Zulkifli, yang mahu dicontohi Esther Cheah.

Atlet berusia 34 tahun itu mula membentuk persahabatan istimewa bersama Shalin dengan misi yang sama -- membawa kejayaan buat Malaysia sejak pertengahan tahun 2000.

"Saya tidak berasakan halangan yang besar untuk mengisi tempat ditinggalkan Shalin kerana saya dan rakan sepasukan lain sudah lama digandingkan bersama," kata Esther.

"Sudah pasti tekanan itu ada bagi memastikan setiap pemain bersedia untuk menghadapi kejohanan.

"Shalin memiliki kemahiran untuk memimpin pasukan dan semestinya ia adalah tanggungjawab yang besar untuk mengendalikan pasukan ini. Sesetengah pemain memerlukan motivasi manakala sebilangan pula memerlukan masa untuk bersendirian dan Shalin amat mahir dalam situasi ini. Jadi saya perlu lebih mengenali rakan sepasukan yang lain selepas ini."

Ditanyakan kepada Esther mengenai peluang untuk mengikuti jejak langkah kejayaan Shalin, dia berkata, "Saya berasakan tempoh karier saya dalam sukan ini tidaklah begitu panjang lagi jadi peluang untuk mengejar setiap pencapaian Shalin bukan tugas yang mudah untuk dicapai oleh saya.

"Shalin adalah Shalin, saya tidak akan cuba untuk menjadi sepertinya, dia adalah seorang atlet yang luar biasa."