Bakat muda tenis negara, Christian Didier Chin, lebih yakin beraksi dalam saingan kelayakan Kumpulan 3, Piala Davis Zon Asia-Oceania di Singapura 26 Jun ini selepas menjuarai kejohanan "ITF Futures" pertamanya awal bulan ini.

Skuad tenis negara bakal membuka kempen Piala Davis, 26 Jun ini dengan harapan mampu kekal dalam Kumpulan 3 setelah tonggak perseorangan negara, Ahmad Deedat Abdul Razak, menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Christian kini lebih yakin menghadapi saingan Piala Davis setelah melalui tiga minggu kejohanan peringkat senior di Singapura.

"Minggu ketiga banyak membuat saya yakin apabila berjaya mengatasi wakil Iran yang membantu melonjakkan kedudukan saya dalam ranking ATP. Kemenangan ini melonjakkan keyakinan saya hasil daripada usaha yang telah ditampilkan sebelum ini," katanya.

Christian, yang membuat penampilan pertama saingan peringkat senior berganding dengan pemain Singapura, Ng Hao Yuan, mengalahkan pasangan Jepun, Kazuma Kawachi-Ryota Tanuma, di pentas final bagi menjuarai minggu pertama "ITF Futures" di Singapura, awal bulan ini.

"Saya berasakan ia merupakan pentas terbaik untuk beraksi dalam ITF Futures sebagai langkah pertama menuju karier profesional dan saya berasakan permainan saya semakin meningkat," ujarnya.

Dalam saingan Piala Davis musim ini, Malaysia perlu berentap dengan tujuh pasukan secara keseluruhan, termasuk Iran, Qatar, Sri Lanka, Syria dan Singapura.