Pemain muda tenis negara, Christian Didier Chin, mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila menjuarai Kejohanan ITF Futures Singapura bagi acara beregu Sabtu lalu, selepas kali terakhir skuad kebangsaan meraih kejuaraan itu tiga tahun lalu.

Christian, yang membuat penampilan pertama saingan peringkat senior berganding dengan pemain Singapura, Ng Hao Yuan, mengalahkan pasangan Jepun, Kazuma Kawachi-Ryota Tanuma, 6-2, 6-7 (3), 10-3 di pentas final.

Bagaimanapun, bekas pemain negara, V. Selvam, berkata ini baru sahaja titik permulaannya dan dia harus bekerja lebih keras jika ingin meraih lebih banyak gelaran juara pada masa akan datang.

"Ini permulaan buat Christian. Saingan beregu ini membuktikan usahanya berhasil dan berharap untuk terus memperbaiki mutu permainan," kata Selvam.

Kali terakhir Malaysia menjuarai kejohanan itu ialah pada 2016 di Vietnam selepas Ahmad Deedat Abdul Razak berganding bersama pemain Taiwan, Chiu Yu Hsiang.

Selvam berharap skuad negara mampu mencari tonggak perseorangan yang baru jika ingin merealisasikan misi melayakkan diri ke kumpulan 2 menjelang Piala Davis Zon Asia/Oceania 26 Jun ini.

"Kami memerlukan pemain perseorangan kerana barisan beregu tidak memiliki masalah dalam memilih pemain untuk melangkah ke kumpulan 2 Piala Davis," katanya lagi.