Atlet jalan kaki negara, Lo Choon Sieng, mahu memadam rekod kebangsaan 20 tahun dalam acara 20km jalan kaki yang masih dipegang Narinder Singh dalam menggapai kilauan emas Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos ini.

Choon Sieng bakal membuat penampilan semula dalam Sukan SEA selepas tidak mengambil bahagian dalam temasya itu di Singapura, dua tahun lalu.

Ia berikutan atlet kelahiran Melaka berusia 31 tahun itu membuat keputusan beralih arah ke acara maraton pada 2014 dan 2015.

Mengakui semangatnya membara untuk beraksi dalam Sukan SEA, Choon Sieng bertekad mahu mengulangi kejayaan manis meraih emas ketika penampilan keduanya di Indonesia pada 2011.

"20 tahun mungkin akan berlaku sekali sahaja untuk dapat bertanding sebagai atlet tuan rumah. Ia adalah peluang terbaik dan bukan senang.

"Selepas 20 tahun sejarah itu, memang semangat saya berkobar-kobar untuk memecahnya," katanya.

Catatan peribadi terbaik Choon Sieng ialah 1 jam 27 minit dan 33 saat, kurang 2 minit daripada rekod kebangsaan yang dilakukan Narinder pada 1997.

Bagi melonjakkan semangatnya untuk meraih emas, dia memasang impian untuk mengatasi catatan itu dalam Kejohanan Lumba Jalan Kaki Piala Asia di Jepun, minggu depan.

"Tahun ini, Sukan SEA Kuala Lumpur, maka semua orang akan pandang kepada atlet Malaysia. Saya mahu melakar sejarah sebelum bersara."