Jurulatih chinlone negara, Muhammad Yusuf Abdullah, mengakui lega selepas skuad bimbingannya yang bersaing untuk disiplin linking menyumbang emas pertama buat Malaysia dalam Sukan SEA Ke-29 di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.

"Alhamdulillah, saya berasa lega seolah-olah hilang beban di atas kepala. Prestasi yang ditunjukkan anak buah saya cukup baik sekali.

"Kami sebenarnya menjangkakan dapat mengutip mata yang lebih daripada itu tetapi saya berasakan cukuplah untuk kami menggapai emas yang pertama ini," katanya.

Pasukan negara yang dibarisi Muhammad Faiz Roslan, Ab Muhaimi Che Bongsu, Mohammad Kamal Aizzat Azmi, Izuan Affendi Azlan, Iskandar Zulkarnain Salim, Putera Aidil Israfil Kamaruzaman, Mohamad Azlan Alias dan Muhammad Zaim Razali muncul juara dengan pungutan 391 mata keseluruhan.

Pingat perak menjadi milik Filipina yang mengumpul 271 mata di pentas final manakala Brunei ketiga dengan 157 mata.

"Saya tidak mengambilnya sebagai beban tetapi mengakui berasa sedikit gugup kerana tidak biasa berdepan dengan penyokong yang ramai. Sebaik minit kedua, kami mula selesa dengan (suasana) stadium dan sorakan penonton.

"Saya harap pingat emas pertama yang dimenangi hari ini dapat membakar semangat atlet-atlet negara yang lain untuk mencapai sasaran 111 emas," kata pemain negara, Muhd Faiz Roslan.