Atlet wusyu negara, Tan Cheong Min, optimis mampu meyakinkan barisan jurulatih dalam sesi pemilihan bersama rakan sepelatih untuk menempa nama dalam Kejohanan Wusyu Dunia 2019, Oktober depan dan Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember.

Kejayaannya meraih satu pingat emas dan satu perak dalam Sukan Asia 2018 manakala satu gangsa dalam Kejohanan Dunia 2017 menjadi sandaran keyakinan Cheong Min untuk merebut tempat.

Malah, dia mahu mengekalkan kejayaannya di pentas dunia yang akan berlangsung di Shanghai, China.

"Saya akan berikan aksi terbaik untuk terpilih ke Kejohanan Dunia.

"Selepas melakukan kesilapan dalam Sukan Asia 2018, saya berikrar untuk tidak melakukan kesilapan dalam sesi pemilihan kedua-dua acara," katanya.

Menurut Cheong Min, setiap peserta hanya boleh memilih dua acara daripada empat yang ditawarkan dalam Kejohanan Dunia.

Justeru, dia mahu mahu memberi tumpuan dalam acara nanquan dan nandao dengan menyasarkan pingat emas.

"Saya pernah memenangi emas dalam acara duo tetapi untuk acara individu, hanya perak.

"Saya harap untuk memenangi sekurang-kurangnya satu emas dalam acara individu," katanya lagi.