Misi sifar doping kekal menjadi sebahagian agenda kontinjen Sukan Asia Indonesia 2018 negara dan ini termasuklah mengadakan saringan ke atas kesemua 447 atlet yang membentuk kontinjen.

Dasar sifar doping kontinjen Malaysia dalam temasya besar sudah dua kali berakhir dengan kegagalan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Komanwel 2018.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna inisiatif saringan pra-kejohanan akan diketepikan sambil memperkenalkan usaha tambahan bagi memastikan atlet negara yang bertanding di Indonesia nanti bebas bahan terlarang.

"Semua makanan tambahan atau apa sahaja yang atlet makan, harus mendapat kelulusan Institut Sukan Negara (ISN) terlebih dahulu.

"Pada masa sama, kami mungkin akan membuat ujian awal ke atas semua atlet yang akan ke Sukan Asia bagi memastikan mereka bebas bahan terlarang," kata Chef-de-Mission (CDM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Dalam masa sama, perancangan menghantar skuad terjun ke kem latihan di China akan dikaji semula dan mereka dijangka berlatih sepenuhnya di tanah air bagi persiapan ke Sukan Asia, dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

"Saya tidak mengatakan ia ditolak 100 peratus, kami nak tengok dulu sama ada kaedah latihan di China boleh membantu kita memenangi pingat emas tertentu.

"Kalau corak latihan di sana lebih kurang sama seperti di sini, saya fikir tidak perlu," tambahnya.

Sementara itu, ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong, mengetepikan soal sasaran pingat peribadi dalam Sukan Asia.

Buat masa ini, dia perlu mengembalikan kecergasan tatkala dia masih dihantui kecederaan belakang yang membelenggunya sejak bergelar juara dunia pada Julai 2017.

"Secara jujurnya, saya belum bersedia sepenuhnya kerana masih mengikuti sesi pemulihan.

"Namun, minggu depan saya dapat mengenal pasti sejauh mana tahap pemulihan apabila perlahan-lahan mengambil bahagian dalam terjunan.

"Hanya saya sahaja yang dapat rasakan apa yang saya lalui, susah untuk menjelaskan masalahnya.

"Saya sudah semakin tua, itu saya perlu akui. Apapun proses pemulihan saya berjalan lancar," kata Jun Hoong.

Jika ada sasaran realitsik untuk terjun menghadirkan pingat, sudah pasti menerusi Jun Hoong dan Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama.

Dan apa jua kesempatan untuk memperincikan prestasi sama ada sepenuhnya di tanah air atau kem di China sebelum kempen di Indonesia akan dimanfaat sebaik mungkin.

"Fokus saya adalah 10m platform seirama. Selain daripada itu, saya akan tetap cuba yang terbaik dalam acara lain," katanya lagi.