Ketua kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2018, Huang Ying How, mahu satu kajian menyeluruh dilakukan berhubung kegagalan menjelmakan pingat pada detik genting oleh atlet walaupun menyerlah dalam pusingan awal.

Baginya, aspek itu perlu diteliti bagi mengenal pasti punca sebenar kehilangan penyudah yang memberangsangkan untuk meraih pingat walaupun pada mulanya beraksi cemerlang.

Ia belum cukup untuk menilai kemampuan sebenar atlet jika hanya layak ke pusingan seterusnya, apatah lagi untuk mereka yang diberi kelebihan berada dalam Program Podium.

"Saya rasa setiap pasukan, termasuk pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), perlu mengkaji cara untuk meningkatkan kadar sumbangan kerana ia mencetuskan pandangan bahawa kami tidak melakukan dengan baik.

"Sebagai ketua kontinjen, saya mahu menekankan mereka melakukan dengan baik. Menembak tidak begitu menyerlah selepas hanya membawa pulang satu gangsa walaupun menyertai banyak aksi final," katanya.

Sukan terjun, khususnya, tiada masalah untuk mara ke final dan berpeluang cerah untuk membantu skuad negara menambah pingat emas, namun tidak memberikan hasil ketika di aksi akhir dan ia cukup mengecewakan kem negara.

"Kami menamatkan saingan dengan tujuh emas tetapi sebenarnya berpotensi untuk membawa pulang jumlah lebih banyak. Skuad terjun layak ke final berbekalkan catatan mata yang tinggi tetapi tidak mencapai emas yang sepatutnya.

"Secara normal, kami seharusnya dapat menambah empat lagi emas dan ia boleh meletakkan Malaysia di kedudukan ketujuh keseluruhan," katanya lagi.