Sebanyak sembilan wakil persatuan karate peringkat negeri dan tiga persatuan perguruan Malaysia menggesa campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, bagi menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan selama dua tahun.

Presiden Persekutuan Hayashiha Kuala Lumpur, Datuk Shihan P Arivalagan, mendedahkan kemelut itu bukan sekadar mengganggu pentadbiran Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), malah memberi kesan kepada atlet.

"Kami akan tunggu sampai bila-bila.

"Kami semua pejuang , atlet dan tidak akan berputus asa sehingga mendapat keadilan," katanya di KBS, Putrajaya, hari ini.

Keahlian MAKAF merangkumi 23 ahli gabungan dan setakat ini, sembilan persatuan karate peringkat negeri dan tiga persatuan perguruan termasuk satu badan sukan berstatus kebangsaan telah digantung.

Semalam, kumpulan itu menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), iaitu Setiausaha Sulit Kanan, Syamsul Erwin, untuk menggesa campur tangan KBS.

Tambah Shihan, kemelut itu telah pun dibawa ke mahkamah dua tahun lalu, bagaimanapun ia masih berlarutan sehingga sekarang.

"Semua pihak yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini telah mengambil langkah ke belakang.

"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana jabatan dan pejabat yang ditugaskan untuk segala isu dan pertikaikan ini sepatutnya diselesaikan oleh pihak yang bertanggungjawab," katanya lagi.