Enam pusingan yang bakal ditempuh pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari, dalam Kejohanan Silat Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semestinya menjadikan saingan lebih mencabar untuknya.

Memandangkan lebih kurang 3,000 pesilat mewakili 137 pasukan dari dalam dan luar negara, sebanyak enam pusingan bakal ditempuh setiap atlet untuk ke final.

Berbanding di pentas Kejohanan Dunia yang menyaksikan hanya tiga pusingan perlu diharungi sebelum ke aksi akhir, juara dunia tiga kali itu teruja untuk menguji ketahanan fizikalnya di UPSI selepas kecewa dalam Kejohanan Pra-Sukan Asia bulan lalu.

"Kali terakhir saya menghadapi kejohanan ini ialah pada 2011 tetapi kali ini saingan kurang mendapat sambutan daripada negara luar," katanya.

Al-Jufferi tidak menolak kekalahannya kepada pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra, dalam kejohanan pra-Sukan Asia baru-baru ini disebabkan wasit yang berat sebelah.

Memandangkan saingan sebenar pada Ogos depan adalah di venue sama, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 ini bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku melibatkan ketidakadilan daripada wasit.

"Ini pertama kali saya tewas dalam pra-Sukan Asia. Saya mengambil positif kekalahan ini kerana ia merupakan tiket buat wakil Indonesia itu ke Sukan Asia," ujarnya.