Status tiga jurulatih terjun negara menjadi persoalan berikutan kegagalan mencapai sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo, bulan lalu.

Antaranya Christian Brooker yang berkongsi dengan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, bahawa beliau tidak berpuas hati mengenai perjalanannya sebagai pengendali negara sejak Disember 2017.

Pencapaian skuad terjun negara dalam temasya Olimpik Tokyo ialah yang terburuk sejak edisi London 2012.

Tiada sebarang pingat terutama dalam acara harapan utama, 10m platform terjun seirama, apabila Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee menduduki tangga kelapan dalam final.

Pencapaian terbaik negara menerusi Nur Dhabitah Sabri yang meraih tangga keempat 3m individu papan anjal wanita, namun ia tidak cukup untuk mencapai sasaran ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Mesyuarat jawatankuasa kerja antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akan diadakan Isnin depan bagi menentukan status ketiga-tiga jurulatih negara itu.

"Matlamat saya di sini bukan untuk meraih keputusan, sebaliknya untuk memperkenalkan suasana selain menyuntik (kekuatan) moral kepada pasukan (bagi menyambung) usaha jurulatih sebelum ini.

"Saya rasa tugas ini telah dilaksanakan dengan baik. Moral dan pasukan ini amat mengagumkan malah hubungan ini sangat hebat.

"Atlet negara lebih gembira ketika bersaing dan menghadiri latihan setiap hari. Mereka tidak berasakan akan ditengking atau dipandang rendah.

"Saya berpendapat suasana sekarang lebih baik berbanding empat tahun lalu.

"Berdasarkan pencapaian, malangnya atlet lelaki tidak dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Kami gagal mendapatkan sumber seperti diharapkan yang telah diluluskan oleh MSN.

"Mereka menilai kami sebagai gagal, sebaliknya merekalah yang terlebih dahulu gagal menghulurkan sumber seperti yang diharapkan," kata jurulatih dari Australia itu.





Sementara itu, Yang Zhuliang turut memberi bayangan bakal meninggalkan Malaysia.

Beliau mahu pulang ke pangkuan keluarganya di Australia baik tamat kontrak 30 September ini.

Jurulatih kelahiran China itu kini hanya melatih Jun Hoong sejak tahun lalu dengan sasaran merangkul pingat Sukan Olimpik.

Bagaimanapun, anak didiknya itu terkandas di peringkat separuh akhir acara 10 meter platform individu.

"Ia bukan mengenai apa yang saya mahu lakukan, sebaliknya apa perancangan Malaysia.

"Jun Hoong masih ingin mendapatkan tunjuk ajar saya pada masa depan.

"MSN banyak membantu saya selama ini jadi saya sangat berterima kasih kepada mereka," katanya.