Jaguh Sukan SEA 2019, Lego Sam, menjuarai Kejohanan Breakdance Maya Kebangsaan hari ini sekali gus layak ke Kejohanan Dunia di Paris, hujung tahun ini.

Lego mengetepikan Mohd Faridh Mohd Yasin dari Sabah untuk dinobatkan sebagai penari breakdance utama negara, namun pencabar utamanya, Faridh yang lebih dikenali sebagai Khenobu, turut akan menyertainya di peringkat tertinggi negara.

Mereka mengetepikan 16 peserta pusingan akhir hari ini dan terlebih dahulu melepasi rintangan daripada 116 wakil yang lain.

Lego Sam berbangga atas usaha kerasnya untuk berdepan kejohanan biarpun memiliki nama gah dalam arena breakdance tempatan.

"Saya hanya dapat berlatih dekat rumah, mental mesti kuat jadi ia sukar.

"Saya perlu menggandakan latihan selain aktiviti renang dan angkat berat untuk bina stamina.

"Saya akan berikan 200 peratus untuk Kejohanan Dunia di Paris kelak.

"Di Malaysia semua orang suka tengok kami (dia dan Khenobu) bersaing sejak 10 tahun lalu. Saya menghormatinya kerana terus memberi cabaran sejak sekian lama," katanya di Nadi Khas sebentar tadi.





Sempena persiapan hari ini, Lego menjelaskan dia lebih selesa mencipta gerakan tarikan tersendiri.

Tetapi dengan tidak menyertai sebarang kejohanan selepas sekian lama, penari di ranking ke-83 dunia itu tidak mahu berasa kerdil dalam usahanya memungut mata ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Semua negara sudah bersedia untuk kejohanan ini. Semua di peringkat tertinggi jadi ia akan bergantung persembahan hari pertandingan.

"Boleh dikatakan saya yakin tapi tidak 100 peratus memandangkan sudah dua tahun tidak dapat menyertai kejohanan. Sudah tentu saya berasa gemeuruh.

"Saya akan lakukan persediaan dan buat sehabis baik untuk negara.

"Untuk kutip mata, saya perlu aktif menyertai kejohanan. Jadi di Paris kelak saya akan buat persiapan terbaik.

"Saya mahu buktikan bahawa penari juga ada semangat Malaysia Boleh!

"Saya sentiasa bangga mewakili negara. Apatah lagi sebelum kelayakan Sukan Olimpik ini, ramai yang tidak memberi perhatian kepada kami. "