Nasib malang nampaknya semakin serasi buat Enzo Amore. Setelah dimalukan oleh The Miz dalam segmen promo Miz TV di siaran Raw minggu lalu, kali ini dirinya menjadi lauk belasahan pula buat Braun Strowman yang ingin melepas geram.

Seperti biasa, Enzo muncul dengan suara serak-serak basahnya seperti kebiasaan mendabik dada dan yakin mampu menewaskan Neville di acara No Mercy minggu depan, seterusnya bergelar Juara Cruiserweight WWE yang baharu.

Namun belum sempat ucapan berdegar-degarnya dapat dihabiskan, bergema muzik tema pencabar utama Kejuaraan Universal WWE, Braun Strowman. Ibarat anak kambing cuba melintas jalan yang kemudian dilanggar lari oleh trak pikap, Enzo tidak sempat berbuat apa-apa apabila dirempuh keras oleh Strowman dari belakang menyebabkannya terkulai layu tidak bermaya.


Tidak cukup dengan itu, Enzo dicampak masuk ke dalam gelanggang seperti kain buruk. Disusuli dengan satu cekak banting (choke slam) yang amat keras, Enzo terdiam tanpa dapat berkata-kata manakala Strowman berdiri megah mempamerkan kegagahannya.

Mengulas tindakannya itu, Strowman melalui catatan di Twitter menyatakan yang Enzo ini hanyalah seperti keropok rangup sebagai pemula juadah sebelum meratah hidangan yang lebih besar di No Mercy. Siapa lagi kalau bukan Juara Universal WWE, Brock Lesnar.
Terdahulu, Strowman dan Lesnar berperang mulut dari dua lokasi berbeza dipercayai agar perseteruan mereka dapat disimpan hingga ke Isnin depan. Menurut jurucakap Brock, Paul Heyman, Strowman adalah lawan yang bukan biasa-biasa buat Brock kerana mampu bangkit dari gerakan Suplex City ibarat tiada apa yang berlaku. Tambah Heyman lagi, segala apa yang telah dilakukan oleh Strowman sebelum ini, telah membangkitkan sifat haiwan buas yang beradu sekian lama di dalam tubuh Lesnar selama ini.

Brock juga percaya yang gerakan Suplex City akan dilancarkan lebih daripada sekali bagi menumbangkan Strowman.

Namun Strowman enggan tunduk dan gentar terhadap ugutan tersebut. Menurut Raksasa Di Kalangan Manusia ini, bukan sahaja dirinya mampu bertahan daripada gerakan berbahaya Brock itu, malah akan memijak Kota Suplex hingga ranap berkecai.

Di hujung temubual, Brock melalui lidahnya sendiri berterima kasih kepada Strowman kerana berani mencabarnya dan merasakan bahawa Strowman memang lawan yang benar-benar secocok dengannya. Brock tidak sabar untuk bertemu dengan Strowman pada Isnin depan mengingatkan Strowman tentang kengerian Kota Suplex yang bakal dihuninya semasa acara kemuncak No Mercy itu kelak.

Bercakap tentang No Mercy, terdapat sedikit perubahan kepada perlawanan bagi merebut Kejuaraan Wanita Raw. Perlawanan yang pada asalnya merupakan perlawanan empat penjuru, ditukar kepada perlawanan lima penjuru dengan kemasukan Bayley yang baru sahaja pulih daripada kecederaan bahu.



Tidak dinafikan yang Bayley layak untuk perebutan kejuaraan ini setelah terlepas peluang untuk beraksi di acara SummerSlam bulan lalu. Namun ia terlalu mendadak dan sudah semestinya memadam peluang kepada Emma untuk bergelar juara.

Sejak dari awal lagi, ramai berpendapat kemasukan Emma dalam perlawanan empat penjuru ini hanyalah sebagai pengisi tempat kosong sahaja. Kini dengan kembalinya Bayley, Emma hanya akan dianggap seperti angin lalu sahaja kerana kejuaraan sudah pasti akan berlegar di kalangan Sasha Banks, Alexa Bliss dan Bayley. Peluang Nia Jax juga agak tipis kerana sudah semestinya ketiga nama di atas akan berganding bahu dan memeterai memorandum persefahaman sementara untuk menyingkirkan Nia daripada persaingan.

Kejuaraan Antara Benua juga turut akan dipertandingkan apabila Jason Jordan mengesahkan tempat sebagai pencabar utama susulan kejayaan dalam perlawanan enam penjuru di acara kemuncak Raw semalam. Jason berjaya mengenepikan cabaran daripada adik beradik Hardy iaitu Matt dan Jeff, Elias, Curtis Axel dan Bo Dallas.

Tidak dinafikan yang kemenangan sememangnya berpihak kepada Jordan yang diangkat tinggi sejak penyertaannya ke Raw bulan lalu. Kemahiran teknikal dan taktikalnya yang ‘diwarisi’ daripada Kurt Angle pasti mampu memberi saingan kepada The Miz yang lebih banyak bergantung harap kepada bantuan The Miztourage sahaja selama ini dalam usaha mempertahankan kejuaraannya itu.

Namun jika ditanya penulis, 'Sang Pengheret' Elias sewajarnya lebih layak diberikan peluang. Dengan gimik biduan bergitarnya, Elias mempunyai pakej lengkap untuk bergelar juara. Barangkali masa Elias belum tiba dan sesuatu yang lebih baik bakal menantinya tidak lama lagi.

Berikut merupakan senarai perlawanan penuh yang telah dimuktamadkan untuk acara WWE No Mercy pada Isnin, 25 September depan secara langsung di WWE Network:

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Universal WWE
Brock Lesnar (juara) lwn. Braun Strowman

John Cena lwn. Roman Reigns

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Regu Raw
Seth Rollins & Dean Ambrose (juara) lwn. Sheamus & Cesaro

Perlawanan 5 penjuru bagi merebut Kejuaraan Wanita Raw
Alexa Bliss (juara) lwn. Sasha Banks lwn. Nia Jax lwn. Emma lwn. Bayley

Finn Balor lwn. Bray Wyatt

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Cruiserweight WWE
Neville (juara) lwn. Enzo Amore

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Antara Benua WWE
The Miz (juara) lwn. Jason Jordan

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.