Bekas Juara Universal WWE Braun Strowman dilapor telah dilepaskan WWE bersama-sama beberapa nama besar lain seperti Aleister Black, Lana, Ruby Riott, Buddy Murphy dan Santana Garrett semalam.

Pelepasan ini telah mengejutkan banyak pihak kerana jaguh gergasi berusia 37 tahun itu merupakan antara bintang utama di WWE dan mempunyai nilai kontrak mencecah lebih daripada US$1 juta setahun. Ia juga dianggap pelepasan paling besar sejak WWE mula melepaskan seorang demi seorang bintang dan kakitangan mereka bermula pertengahan April lalu sebagai langkah penjimatan oleh pengurusan syarikat.

The Monster Among Men telah bersama WWE sejak tahun 2013 dan mula mencipta nama apabila bergerak solo di jenama Raw setelah diperkenalkan sebagai ‘Kambing Hitam’ dalam pasukan The Wyatt Family. Beliau telah terlibat dengan beberapa konfrontasi bertaraf main event dengan nama-nama besar seperti Roman Reigns, Seth Rollins, Bobby Lashley, Brock Lesnar dan tidak ketinggalan jaguh legenda Goldberg.

Bukan itu sahaja, pelbagai kejuaraan serta gelaran juga telah dirangkulnya seperti Kejuaraan Antara Benua, Kejuaraan Beregu Raw, pemenang Andre The Giant Memorial Battle Royal pada 2019, dan pemenang Money In The Bank 2018.

Braun atau nama sebenarnya Adam Scherr telah beraksi kali terakhir di acara Wrestlemania Backlash bulan lalu dengan terlibat dalam perlawanan tiga penjuru bagi merebut Kejuaraan WWE bersama penyandang juara Bobby Lashley dan Drew McIntyre.

Pelepasan nama-nama besar seperti Strowman, Aleister Black. Murphy dan lain-lain ini pastinya akan diintai rapat oleh organisasi gusti lain khususnya seperti All Elite Wrestling dan Impact Wrestling. Namun kesemua mereka mempunyai klausa 90 hari tanpa bertanding pasca pelepasan dan dijangka hanya akan membuat kemunculan sulung di syarikat lain sekurang-kurangnya tiga bulan dari sekarang.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Hell In A Cell pada 21 Jun depan serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.