Sabah sekali lagi bakal menjadi tumpuan peminat sukan ragbi tempatan dan luar negara apabila Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Borneo atau lebih dikenali sebagai Borneo Sevens berlangsung dari 16 hingga 18 Mac ini.

Lebih 20 pasukan dari 10 negara bakal menyertai kejohanan bertaraf dunia itu yang dianjurkan Kelab Ragbi Eagles (ERC), dengan beberapa pemain ternama turut dijangka bermain.

Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Sabah(SRU), Dr KH Tan, menjelaskan sejak kejohanan berkenaan dianjurkan 15 tahun lalu, ia sentiasa mewarnai sukan ragbi di negara ini dengan kehadiran pasukan-pasukan ternama.

"Kejohanan ini turut diiktiraf Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) serta disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan negeri Sabah dan Institut Sukan Negara.

"Pada tahun ini juga, Borneo Sevens turut mendapat pengiktirafan daripada Ragbi Asia dengan presidennya, Aga Hussain, dijangka berada di Sandakan sepanjang kejohanan itu berlangsung," katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, kelmarin.

Selain itu, pasukan tuan rumah, Borneo Eagles, yang akan bertanding menggunakan nama NZ Borneo Eagles, akan sekali lagi turun bagi mempertahankan kejuaraan mereka.

"Borneo Eagles telah lima kali menjuarai kejohanan ini, termasuk pada tiga tahun berturut-turut lalu, dan tahun ini, mereka sekali lagi dibarisi pemain kebangsaan New Zealand," katanya.

Sebanyak 14 pasukan lelaki telah mengesahkan penyertaan manakala sebuah lagi pasukan, iaitu Korea Selatan, masih belum membuat keputusan sama ada menyertainya atau tidak.

"Kesemua pasukan itu datang dari pelbagai negara, namun untuk Sabah, kita juga ada beberapa pasukan, termasuk Borneo Eagles, Sabah Eagles, Sabah Sukma, ATM dan Labuan dan mereka bakal bersaing dengan pasukan dari Hong Kong, Sri Lanka dan Australia

"Sementara itu juga, sebanyak 10 pasukan akan bertanding bagi kategori wanita, termasuk juara bertahan, Sri Lanka, dan kita jangka kategori itu juga sengit dengan kehadiran Thailand yang kini di ranking tiga teratas Asia."

Antara pasukan lain yang bertanding dalam kategori wanita ialah skuad tujuh sebelah negara, dan dua pasukan dari Sabah.