Borneo Eagles memilih laluan sukar untuk mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Ragbi Borneo 7s apabila terpaksa berdepan lawan sama dalam final tahun lalu, Tribe 7s dari Australia.

Walaupun menang besar ke atas Thailand 33-0 dalam aksi pertama kumpulan A, Borneo Eagles terpaksa akur di kedudukan kedua kumpulan selepas dikejutkan pendatang baharu kejohanan, Iconz dari Australia.

Sementara itu, Tribe 7s tidak menghadapi masalah untuk menduduki tangga teratas Kumpulan B selepas memenangi kesemua perlawanan mereka dalam kumpulan, termasuk dua aksi hari ini dengan membelasah Malaysia 49-0 dan Belgium Barbarian 47-0.

Dalam pada itu, walaupun tewas kepada Tribe 7s, pasukan negara masih berjaya layak ke suku akhir apabila menduduki kedudukan kedua Kumpulan B selepas mencatat kemenangan kedua mereka bertemu TCJRT 36-0.

Bagaimanapun, Malaysia dijangka menghadapi laluan sukar untuk mara ke separuh akhir selepas bakal bertemu dengan, Iconz yang mengejutkan Borneo Eagles, petang tadi.

Dua lagi perlawanan peringkat suku akhir menyaksikan Hong Kong Dragon bertemu Sabah Eagles manakala Mellowpuff akan berentap dengan Sri Lanka.

Kesemua aksi suku akhir akan berlangsung di Kompleks Arena Sukan ERC, Sandakan malam ini.

Keputusan hari ini:

Kumpulan A

Borneo Eagles 33-0 Thailand

Borneo Eagles 19-21 Iconz

Kumpulan B

Tribe 7s 48-0 Malaysia

Belgium Barbarian 38-5 TCJRT

Tribe 7s 47-0 Belgium Barbarian

Malaysia 36-0 TCJRT

Kumpulan C

Hong Kong Dragon 56-0 Tawau Rugby

Mellowpuff 38-0 Sabah Sukma

Hong Kong Dragon 31-0 Mellowpuff

Tawau Rugby 7-19 Sabah Sukma

Kumpulan D

Sabah Eagles 69-0 IRC

Sabah Eagles 0-12 Sri Lanka