Skuad ragbi 7's negara membuktikan mereka juga mampu memberi tentangan hebat dalam Kejohanan Borneo 7's 2018 apabila membenam pasukan luar negara, Belgium Barbarian, 21-14 dalam aksi Kumpulan B di Sandakan, hari ini.

Malaysia terlebih dulu mendapat mata hasil try daripada Muhammad Zharif Affandi Zahib disusuli conversion oleh Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi bagi menjadikan kedudukan 7-0.

Wan Izzuddin Ismail kemudian menambah mata buat negara menerusi try sebelum Azwan sekali lagi menyempurnakan conversion bagi menjadikan kedudukan 14-0.

Bagaimanapun, Belgium Barbarian yang dibarisi pemain dari beberapa negara berjaya merapatkan kedudukan kepada 14-7 hasil try oleh Bain Chanpion, disusuli conversion daripada Naxine Ferre.

Bermula babak kedua, skuad bimbingan Mohd Saizul Hafifi Md Noor itu berjaya mendapat tujuh lagi mata hasil try dan conversion, masing-masing menerusi Muhammad A'aziem Badaruddin dan Azwan bagi menjadikan kedudukan 21-7.

Belgium Barbarian kemudian tidak memberi laluan mudah buat Malaysia apabila sekali lagi merapatkan kedudukan menjadi 21-14 hasil usaha Ferre.

Bagaimanapun, usaha pasukan yang berpangkalan di Belgium itu bagi menyamakan kedudukan tidak kesampaian dan kedudukan 21-14 itu kekal sehingga tamat permainan.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan B, naib juara edisi lalu, Tribes 7s, dari Australia mudah menewaskan Kelab Ragbi Tainan Chang Jung (TCJRT) dari Taiwan 50-0.

Perlawanan lain juga menyaksikan sebuah lagi pasukan dari Australia, Iconz, membelasah Thailand 57-0 bagi aksi Kumpulan A manakala Sri Lanka turut berpesta selepas mudah menjinakkan Kelab Ragbi Islander (IRC) dari Labuan, 80-0.

Dua lagi perlawanan dalam Kumpulan C pula menyaksikan Hong Kong Dragon menewaskan pasukan Sukma Sabah 47-0 manakala Mellowpuff menang ke atas pasukan Ragbi Tawau 49-0.

Dalam saingan Kumpulan A kategori wanita pula, juara bertahan, Sri Lanka, membelasah Sukma Sabah 50-0 manakala Hong Kong Dragons turut menang ke atas Pilihan Eagles RFC 40-0.

Sementara itu, dalam Kumpulan B, juara Asia Tenggara, Thailand, mudah membenam Kelab Ragbi Wanita Islander (IWRC) 67-0 sementara Pilihan Singapura menang 32-0 ke atas Sabah Eagles.