Pemain ragbi negara, Mohamad Amin Jamaluddin, berdepan ujian apabila dilanda kecederaan bahu merencatkan hasrat untuk kembali membarisi pasukan kebangsaan.

Bonzer pada mulanya mendapat perkhabaran gembira kembali ke pangkuan skuad negara untuk Kejohanan Ragbi Asia selepas tersisih tiga tahun.

Namun, impiannya untuk memperkuatkan skuad Bunga Raya musnah selepas dia mengalami kecederaan bahu dalam perlawanan kedua bersama juara Bundesliga, TV 1834 Pforzheim, ketika menentang SC Frankfurt, sekali gus terpaksa diketepikan untuk baki saingan musim ini.

"Pada mulanya saya rasa ia hanya membabitkan kecederaan di bahagian otot tapi saya tetap teruskan perlawanan.

"Tanpa saya sedari bahu saya sudah senget dan tersakit sangat macam ditikam.

"Disebabkan itu, tulang bahu saya tertimbul," kata pemain dari Perlis itu.

Dalam masa sama, TV Pforzheim tetap menawarkan perkembangan memberangsangkan buat kancah ragbi negara apabila akan turut diwakili Samuel Rentap Anak Meran bersama-sama Noor Alif Ikhmal.