Kurang 24 jam lagi, Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) bakal mengumumkan senarai nama pemain yang akan ke Kejohanan Dunia di Dubai dari 6-17 November depan.

Walaupun menjalani tempoh latihan agak singkat, atlet negara tidak rela mensia-siakan peluang yang ada untuk mempamerkan prestasi terbaik dalam sesi pemilihan yang dijalankan selama dua minggu itu.

"Saya memang teruja dan sudah bersedia termasuk kelengkapan. Akan ada pendedahan muka baru untuk pengalaman dalam Kejohanan Dunia," kata pemenang emas Piala Dunia AMF 2012, Syafiq Ridhwan, di Nadi Arena.

Atlet juga berdepan cabaran apabila format Kejohanan Dunia kali ini juga telah diubah.

"Sebelum ini persatuan akan hantar enam lelaki dan enam wanita tapi kali masing-masing ditetapkan minimum empat orang sementara maksimum lapan atlet lelaki, begitu juga wanita.

"Jadi kami boleh bertukar-tukar mengambil bahagian dalam mana-mana kategori," katanya lagi.

Dalam saingan wanita pula, Nora Lyana Nastasia memberitahu: "Selepas dua tahun tanpa kejohanan antarbangsa, saya harap dapat menyertai pasukan tapi dalam edisi kali ini.

"Tetapi kategori bagi setiap atlet akan ditetapkan."


Kredit imej: Bowlingdigital.com