Pemenang pingat emas boling masters wanita,Shalin Zulkifli, berkongsi rahsia kejayaannya di pentas Sukan SEA selepas memenangi pingat emas ketiganya dalam temasya KL2017 ini, semalam.

Shalin -- yang juga pemenang pingat emas acara trio dan berpasukan -- dan lawannya dari Indonesia, Tannya Roumimper, mempamerkan aksi sengit sepanjang perlawanan sebelum Shalin akhirnya menang dengan perbezaan satu pin.

Ketika ditemu bual Nadi Arena hari ini, Shalin berkongsi resipi kejayaannya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya hanya memikirkan untuk memenangi acara masters ini. Emas adalah impian saya. Saya telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan final dan akhirnya emas milik Malaysia. Saya hanya memberikan tumpuan untuk melakukan balingan yang terbaik.

"Pada ketika itu, ketahanan mental yang membezakan emas dan perak," jelas Shalin.

Shalin turut teruja ekoran skuad boling berjaya menyamai rekod pungutan pingat emas di Brunei 1999 di samping meluahkan rasa terima kasih kepada rakan sepasukan yang tidak henti-henti menghulurkan sokongan.

"Pencapaian meraih tujuh emas, ini mengulangi kejayaan dalam Sukan SEA Brunei.

"Kami telah berhempas-pulas untuk memberikan yang terbaik bagi KL2017.

"Kami sentiasa melakukan latihan. Tetapi kebelakangan ini saya mengalami kecederaan. Menikmati sukan boling adalah sesuatu yang mendorong saya untuk terus beraksi. Rakan sepasukan juga memberikan sokongan kepada saya," ujarnya.

Begitupun, pencapaian Shalin tidak berhenti di situ apabila dia turut merapati rekod bekas perenang negara, Nurul Huda Abdullah, yang mengutip 22 pingat emas Sukan SEA. Shalin setakat ini sudah menghimpun 20 emas.

Menariknya, Shalin mendedahkan dalam upacara pembukaan 19 Ogos lalu, dia sempat berbual dengan Nurul Huda, yang mahu melihat dirinya memecahkan rekod kutipan pingat emas bekas ratu renang itu.

"Saya telah berbual bersama Nurul Huda dan Jeffrey Ong, mereka telah memberitahu kepada saya untuk memecahkan rekod pingat emas," tambah Shalin.

Sementara itu, Shalin turut yakin masa depan boling negara akan kekal cerah selepas menyaksikan sendiri kelahiran ramai pelapis muda berbakat.

"Program pembangunan sukan boling sangat baik. Terdapat banyak kejohanan di pentas remaja dan tempatan, ia membantu untuk melahirkan lebih banyak atlet boling. Dari situ, kami memilih beberapa atlet untuk beraksi di luar negara untuk meraih pengalaman.

"Sokongan keluarga adalah sangat penting. Kehadiran mereka memberikan semangat kepada kami untuk berjuang dengan baik. Sokongan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Insititut Sukan Negara (ISN) turut melonjakkan motivasi untuk beraksi."

Meskipun sudah menempatkan dirinya dalam kalangan atlet legenda negara, Shalin mahu terus memburu kegemilangan apabila menyuarakan niatnya beraksi dalam Sukan Asia Jakarta/Palembang 2018.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.