Pemain boling lelaki veteran negara, Alex Liew, mengakui kegagalan mempertahankan emas Sukan SEA yang mereka miliki sejak dua edisi lalu dalam acara berpasukan lelaki sememangnya pahit untuk ditelan.

Bagaimanapun, mereka akan cuba bangkit dalam saingan masters di Sunway Mega Lanes, hari ini

Skuad berpasukan boling lelaki diletakkan harapan tinggi memandangkan barisan pemain kali ini dilihat antara yang terkuat.

Bagaimanapun, nyata nasib yang sama menimpa mereka seperti acara trio lelaki apabila mereka sekali lagi hampa tanpa sebarang pingat.

Sekadar menduduki tangga keempat menerusi 6,239 jatuhan pin, Alex meminta maaf kerana menghampakan penyokong negara yang hadir di Sunway Mega Lanes semalam.

"Pada set yang keenam, kami menghadapi kesukaran untuk memberikan yang terbaik. Inilah sukan boling, ada naik dan turun," katanya.

Alex, yang akan bersama Rafiq Ismail, Abdul Muaz Fishol dan Adrian Ang dalam saingan masters, mahu memastikan skuad lelaki menutup saingan dengan pingat emas pada hari terakhir.

"Ia agak mengecewakan tetapi masih terdapat satu lagi acara dan kami akan cuba memberikan yang terbaik," tambahnya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.