Kelebihan satu pin sudah cukup untuk Shalin Zulkifli muncul pemain terbaik bagi memenangi emas acara masters wanita Sukan SEA Ke-29 di Sunway Mega Lanes, sebentar tadi.

Pertemuan di antara Shalin dan Tannya Roumimper dari Indonesia dalam perlawanan akhir ternyata amat sengit selepas kedua-dua jaguh itu terikat 245-245.

Kedudukan itu mengheret ke perlawanan kedua, yang lebih dramatik apabila Shalin dan pesaingnya itu bergilir-gilir mendahului permainan.

Shalin pada satu ketika ketinggalan agak jauh, bagaimanapun, sedikit kesilapan daripada Tannya tidak dipersia-siakannya.

Ratu boling negara itu akhirnya menamatkan pusingan kedua dengan kedudukan akhir 224-223 untuk menggapai emas ketiganya dalam temasya kali ini.

Shalin, yang terduduk selepas mengharungi saingan getir itu, mendapat pelukan daripada lawan dan tepukan gemuruh daripada kem Indonesia sebagai tanda penghormatan.

"Saya hanya perlu melakukan balingan sembilan pin dan akhirnya berjaya meraih kemenangan. Ia merupakan satu cabaran yang sukar.

"Kami akan ke Las Vegas untuk menghadapi saingan Kejohanan Dunia seterusnya," kata Shalin.

Tannya akur dengan pingat perak manakala pemain Singapura, Shayna Ng, yang ditewaskan Shalin dalam separuh akhir, meraih gangsa.

Bagi temasya kali ini, Shalin turut memenangi emas dalam acara lima berpasukan dan trio wanita, sekaligus mengumpul emas ketujuh daripada skuad boling negara.

"Saya cuma memberitahu diri saya untuk tidak berputus asa. Kita tidak tahu apa yang berlaku. Dia (Tannya) memaksa saya untuk bermain sebaik mungkin.

"Jadi kami berdua sememangnya menampilkan aksi terbaik, ini satu pertembungan yang cukup sengit."

"Sebelum Sukan SEA, saya ada mengalami kecederaan di bahagian lengan, tetapi Alhamdulilah selepas menjalani fisioterapi saya mahu memberikan yang terbaik hari ini. Jika tidak, mungkin tubuh saya tidak dapat menangani tekanan kejohanan," tambah Shalin.

Untuk rekod, pingat emas hari ini adalah yang ke-19 buat Shalin dalam Sukan SEA sejak membuat kemunculan sulung dalam temasya di Singapura pada 1993.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.