Pelepasan setahun yang diberi oleh majikan digunakan sepenuhnya untuk beregu lelaki boling tenpin para negara, Abdul Rahman Bava Kutty dan Muhammad Amin Abdul Rashid, untuk merangkul pingat emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 kategori TPB10, hari ini.

Pasangan itu berjaya merangkul emas dalam persaingan yang cukup sengit selepas melakukan 2,469 jatuhan pin, dibezakan hanya enam pin dengan pasangan Filipina yang mengumpul 2,463 jatuhan pin.

Kedua-duanya baru sahaja bergandingan selama setahun apabila masing-masing diberi pelepasan oleh majikan untuk berlatih sepenuh masa demi Sukan Para ASEAN.

Abdul Rahman, yang merupakan atlet paling senior pada usia 59 tahun, kini hanya menunggu masa untuk pencen sebagai penjawat awam dan semestinya pingat emas ini adalah tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan untuknya.

"Pihak majikan telah memberikan saya pelepasan untuk menjalani latihan selama setahun lebih tanpa mengambil kira apa pun.

"Mereka cakap, 'pergilah berlatih demi Malaysia'," katanya.

Begitu juga buat Amin yang menyifatkan pengorbanan masa untuk keluarga sendiri, terutama isterinya yang kini dalam pantang, terbayar dengan pingat emas ini.

Selama setahun, fokus atlet berusia 32 tahun itu hanya kepada temasya ke-9 ini selepas meraih perak bagi acara sama di Singapura.

"Kami telah menjalani persiapan dari tahun lepas lagi.

"Saya berterima kasih kepada Abang Rahman sebab banyak membantu saya, memberi semangat dan menjadi pasangan kepada saya," ujarnya.