Pemain harapan negara dalam acara boling Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Muhammad Rafiq Ismail, sedia untuk mempertaruhkan segala-galanya bagi memastikan status juara perseorangan lelaki berjaya dipertahankan.

Rafiq menjadi sebutan dua tahun lalu di Singapura selepas membawa pulang tiga pingat emas dan satu perak walaupun melakukan penampilan pertama kali ketika itu.

Kini, pemain berusia 20 tahun itu lebih yakin dan berikrar akan mengerah segala kudratnya untuk menghadiahkan emas di laman sendiri.

"Hari ini merupakan latihan rasmi Sukan SEA. Saya akan mengekalkan perancangan awal kami.

"Saya harap dapat kukuhkan peluang untuk mendapatkan pingat itu," katanya.

Selain itu, semangat Rafiq semakin membara kerana dia tidak mahu melihat penyokong Malaysia kecewa jika dia gagal.

"Saya akan menjadikan kehadiran penyokong sebagai motivasi kerana saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri.

"Saya berharap sorakan mereka akan membina semangat saya."