Pemain boling negara, Rafiq Ismail, memastikan pingat emas acara individu lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjadi milik Malaysia selepas menewaskan rakan senegara, Adrian Ang, dan Yeri Ramadona dari Indonesia di Sunway Megalanes, Petaling Jaya, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Rafiq berjaya mempertahankan emas yang dimenangi dalam saingan di Singapura, dua tahun lalu.

Darren Ong dari Singapura mendahului ketika set ketiga dengan 721 jatuhan pin, namun diekori rapat oleh tiga pemain negara, iaitu Adrian, Rafiq serta Ahmad Muaz Fishol di kedudukan kedua sehingga keempat.

Bagaimanapun, semangat berkobar-kobar beraksi di laman sendiri membuatkan pemain negara terus meningkatkan prestasi dan usaha itu berhasil di akhir saingan apabila Rafiq berjaya meletakkan dirinya di tangga teratas dengan 1,418 jatuhan pin sambil dituruti oleh Adrian (1,402 mata) di tempat kedua dan wakil Indonesia, Yeri Ramadona (1,380 mata).

"Permainan hari ini sangat sukar, saya bermula dengan 257 mata tetapi dalam pertengahan permainan, saya agak bergelut sehingga permainan terakhir.

"Perbezaan dalam permainan terakhir tidak besar," katanya.

"Sebaik saingan bermula, saya hanya memikirkan untuk aksi sahaja dan tidak memandang ke belakang.

"Rafiq akhirnya berjaya melakukannya," tambah Adrian.

Secara keseluruhan, skuad boling negara berjaya mengutip satu emas, dua perak dan tiga gangsa menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita selepas Sin Li Jane serta Shalin Zulkifli menduduki tangga kedua dan ketiga, pagi tadi.