Dua pemain boling negara menghadiahkan pingat perak dan gangsa menerusi acara perseorangan wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung di Sunway Megalanes, Petaling Jaya, sebentar tadi.

Sin Li Jane menduduki tangga kedua selepas mencatat 1,300 jatuhan pin manakala ratu boling negara, Shalin Zulkifli, di tangga ketiga dengan 1,297, sekaligus meletakkan mereka berada di belakang pemenang dari Singapura, Cherie Tan, yang mengutip 1,413 pin.

Wakil Malaysia, Esther Cheah, mendahului dalam saingan pertama apabila melakukan 268 jatuhan pin manakala dua lagi wakil negara, Natasha Mohamed Roslan dan Siti Safiyah Amirah, berada di kedudukan keempat dan kelima selepas mencatat 236 dan 231 jatuhan pin.

Namun, saingan ketiga mula menyaksikan kebangkitan Cherie untuk mendahului dengan 734 jatuhan pin keseluruhan sebelum Li Jane turut mendaki tangga ketiga dalam saingan kelima dengan 1,084 mata.

Li Jane terpaksa akur dengan aksi konsisten Cherie untuk berada di tangga kedua di akhir permainan sementara Shalin berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik walaupun sebelum itu berada di tangga ke-12.

“Sebenarnya saya tidak melihat kepada skor, cuma apa yang saya lakukan dalam aksi terakhir adalah berusaha sehabis baik.

“Kita tidak boleh jangka apa yang akan ditampilkan oleh pemain lawan,” ujar Li Jane.

“Saya akui sedikit lambat panas dan permulaan yang agak perlahan.

“Set demi set saya cuba tingkatkan permainan dan apa saya nampak, pesaing-pesaing lain turut mengharungi laluan yang sukar,” tambah Shalin.