Atlet boling padang negara, Emma Firyana Saroji dan Siti Zalina Ahmad, mempamerkan aksi luar biasa untuk merangkul pingat emas bagi acara berpasangan wanita apabila dibezakan satu mata ketika menundukkan pasangan Afrika Selatan 15-14 dalam final, hari ini.

Harapan Malaysia untuk mengutip emas keempat akhirnya tercapai, namun pelbagai aksi penuh mencabar dan dramatik disaksikan di Broadbeach, terutama setelah menunjukkan kekuatan mental yang terpuji untuk bangkit daripada ketinggalan agak jauh di awal permainan.

Emma dan Siti Zalina berdepan cabaran dalam mendapatkan mendapat rentak leretan bola, sekali gus membiarkan pasangan lawan, Nicolene Neal dan Collen Piketh, mendahului 7-0 di end ketiga.

Mata pertama hanya tiba pada end keempat dan dua wakil negara itu tidak pernah berputus asa untuk meningkatkan prestasi mereka di pertengahan saingan, sehingga dapat merapatkan mata kepada 12-13 di end ke-16.

"Saya berterusan cakap dengan Emma, 'kita cuba, kita cuba', sebab end masih ada, permainan masih di pertengahan saingan.

"Kami tidak sepatutnya mudah berputus asa. Kami beraksi baik, begitu juga lawan. Kami cuma kekurangan dari segi penyudah.

"Sedikit kesilapan dalam end merupakan detik kebangkitan kami," kata Siti Zalina.

Semangat juang pasangan itu harus menerima pujian apabila buat kali pertama mendahului 15-13 di end ke-17.

Dalam situasi genting di end terakhir yang berkedudukan 15-14, emas sah menjadi milik Emma dan Zalina yang terus berpelukan dan melinangkan air mata kegembiraan.

"Ini pingat emas pertama saya dalam Sukan Komanwel dalam penyertaan kedua saya.

"Kejayaan ini memenuhi sasaran saya untuk memenangi emas, apatah lagi saya kalah dalam final di Glasgow yang lalu," ujar Emma pula.

Sementara itu, Collen Piketh, menyifatkan mereka mula goyah sebaik Malaysia mempamerkan kebangkitan.

"Kamu mula berasa tertekan dan pihak lawan mula menemui rentak.

"Ada masanya kami tidak cukup ampuh."