Skuad boling padang negara menambah koleksi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 buat negara menerusi acara tiga sepasukan lelaki di Pusat Boling Padang Kebangsaan, Bukit Kiara, sebentar tadi.

Berentap buat kali kedua dengan Brunei -- lawan yang dikalahkan sebelum ini -- trio negara yang dibarisi Soufi Rusli, Amir Yusof dan Syamil Syazwan Ramli mempamerkan aksi meyakinkan sejak ends pertama.

Hasilnya, skuad negara cemerlang mengesahkan kemenangan ketika saingan berbaki satu ends menerusi keputusan 19-9 untuk emas kedua boling padang dalam temasya KL2017 manakala gangsa menjadi milik Thailand.

"Kemenangan ini merupakan hasil strategi yang membuahkan hasil.

"Kami telah bertemu Brunei sebelum ini, kami telah mengenali gaya permainan mereka," kata Amir Yusof.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, turut mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka itu dengan berkata: "Tahniah kepada pasukan lelaki boling negara kerana berjaya meraih satu lagi pingat emas.

"Saya berharap kemenangan ini akan membantu mencapai sasaran pingat emas yang telah ditetapkan."

Kejayaan emas ini juga mengubati kekecewaan skuad empat berpasukan lelaki yang terpaksa berpuas hati memungut perak, semalam.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.