Skuad boling tenpin negara menutup tirai saingan pada hari terakhir dengan menyapu bersih dua emas yang ditawarkan apabila mendominasi acara berpasukan campuran B1/B2/B2/B3 dan B8/B9/B9/B10 dalam Sukan Para ASEAN 2017 di Sunway Mega Lanes, hari ini.

Malaysia, yang dibarisi Muhamad Hairul Miran, Muhamad Suhaili Abdul Hamid, Choo Kam Chan dan Mohd Rizal Hassan, mengungguli berpasukan campuran B1/B2/B2/B3 dengan 2,851 jatuhan pin.

Perak acara itu dimenangi Brunei dengan 2,654 jatuhan pin manakala Thailand memperoleh gangsa (2,525 jatuhan pin).

Zahidi Lamsah, Abu Bakar Nyat, Wong Kee Soon dan Muhamad Amin Abdul Rashid pula menghadiahkan emas kategori B8/B9/B9/B10 dengan 3,263 jatuhan pin.

Filipina meraih perak dalam acara itu dengan 2,809 jatuhan pin manakala gangsa milik Thailand (2,738 jatuhan pin).

Sementara itu, Hairul diangkat sebagai atlet paling berjaya apabila memenangi empat emas keseluruhan sepanjang temasya kali ini.

"Alhamdullillah, syukur kepada Allah kerana doa saya dimakbulkan. Terima kasih kepada jurulatih dan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan kami semua. Kami sekali lagi mengecap kejayaan selepas edisi di Singapura dua tahun lalu," katanya.

"Kami berempat seperti adik beradik, bekerjasama sebagai satu pasukan. Kami jatuh sama-sama dan kami bangkit sama-sama," kata Rizal.

Malaysia, yang dibimbing Steven Teng, secara keseluruhan meraih 11 pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa dalam temasya edisi ini.

Gambar: Majlis Sukan Negara (MSN)