Pasukan bola tampar wanita negara gagal menyerlah berdepan Vietnam apabila tewas 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Sukan SEA Ke-29 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Skuad kendalian Datuk Moh Wung Ming itu mempamer aksi kurang konsisten bermula pada set pertama untuk Vietnam mendahului 25-17.

Enggan terus ketinggalan, Malaysia cuba bangkit pada set kedua, namun pelawat berterusan melakukan asakan untuk menguasai perlawanan dan jauh meninggalkan Malaysia 25-7.

Pada set ketiga, Vietnam sekali menghukum tuan rumah untuk mengesahkan kemenangan mereka 25-11.

Bagaimanapun, Wong Ming menganggap kekalahan itu bukan disebabkan kelemahan skuadnya tetapi menyifatkan pelawat sememangnya pasukan yang kuat dan sukar dijangka.

Dia percaya keputusan berbeza pasti diraih dalam perlawanan kedua berdepan Filipina, esok.

"Saya percaya kami tewas kepada pasukan (Vietnam) yang sangat berpengalaman. Beberapa pemain yang mereka miliki adalah profesional," kata Wung Ming.

Semalam, skuad lelaki negara turut tewas 3-2 dalam perlawanan kedua Kumpulan A selepas meraih kemenangan ke atas Kemboja 3-0 kelmarin.