Pengendali skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, percaya pasukannya tidak memerlukan motivasi tambahan untuk aksi separuh akhir berdepan Indonesia esok kerana setiap pemain tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Bagi Kim Swee, setiap pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk menangani cabaran Indonesia dan tidak akan memperjudikan perlawanan itu dengan terlalu memikirkan kemaraan ke final.

"Pemain menyedari apa yang mereka inginkan. Berdepan Indonesia, kami perlu mengekalkan fokus bagi mengikut setiap strategi yang telah ditetapkan.

"Dengan kehadiran penyokong, itu akan menjadi dorongan utama buat Malaysia," katanya.

Pada masa yang sama, Kim Swee enggan menjadikan kemenangan 3-0 ke atas skuad Garuda dalam kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Bangkok bulan lalu sebagai kayu pengukur prestasi mereka ketika ini.

"Kami dapat melihat peningkatan dalam permainan Indonesia sejak kelayakan AFC tempoh hari. Mereka tidak tewas dalam sebarang perlawanan peringkat kumpulan, saya percaya mereka akan menampilkan asakan yang berbeza kali ini," tambah Kim Swee.

Dalam pada itu, penolong jurulatih Indonesia, Bima Sakti, turut yakin pasukannya kini lebih bersedia berdepan Malaysia meskipun beberapa tonggak, antaranya kapten pasukan, Hansamu Yamapranata, terpaksa diketepikan ekoran digantung perlawanan.

"Sejak awal lagi, kami cuba memastikan pemain-pemain berada di tahap kecergasan yang terbaik untuk perlawanan akan datang," ujar Bima Sakti.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.