Myanmar merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut apabila menewaskan Brunei 6-0 dalam Kumpulan A acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, hari ini.

Beraksi di Stadium UiTM Shah Alam, Myanmar membuka tirai jaringan seawal minit ke-24 menerusi Aung Thu sebelum gol kedua hadir 17 minit kemudian hasil sumbangan Aung Sithu.

Menggunakan kelebihan permainan pantas, Myanmar melebarkan jurang dalam babak kedua menerusi Aung Kaung Mann pada minit ke-73 sebelum merekodkan gol peribadi kedua 12 minit kemudian.

Myanmar terus menghukum Brunei dengan gol kelima dan keenam melalui percubaan Maung Lwin Maung pada minit ke-91 dan Than Paing di hujung masa kecederaan.

Kemenangan itu meletakkan Myanmar kini selaku pendahulu kumpulan dengan sembilan mata, disusuli Malaysia -- yang masih berbaki satu perlawanan -- kedua dengan enam mata.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A hari ini, Singapura melakar kemenangan pertama selepas menewaskan Laos 2-0 di Stadium Selayang.

Singapura berada di depan seawal minit ketiga menerusi jaringan Taufik Suparno sebelum Ikhsan Fandi meledak gol kedua pada minit ke-11.

Laos kemudian cuba mempamerkan kebangkitan, namun hampa dengan kekalahan kedua berturut-turut.