Pengendali skuad bola sepak B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, optimis generasi pemain yang beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 memiliki masa depan yang cerah di peringkat antarabangsa walaupun gagal meraih pingat emas selepas tumpas 0-1 di tangan Thailand dalam perlawanan akhir, semalam.

Bagi Kim Swee, kepedihan tewas tipis seharusnya mematangkan pemain dalam menghadapi tugasan antarabangsa selepas ini sambil menyifatkan saingan pusingan akhir Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di China awal tahun depan kini menjadi fokus utama.

"Selepas ini, kami perlu mengalihkan tumpuan kepada aksi AFC di mana pemain perlu disatukan semula Disember ini sebelum memulakan kempen di China," katanya.

Meskipun hanya mengambil alih pasukan tiga bulan sebelum Sukan SEA bermula, pujian wajar diberikan kepada jurulatih berusia 46 tahun itu selepas berjaya membawa skuad negara layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun serta final Sukan SEA walaupun sebelum ini berdepan masalah pelepasan pemain dari kelab dan negeri masing-masing.

Keberaniannya melakukan perjudian membawa masuk pemain muda seperti Akhyar Rashid dan Daniel Amier Norhisham dalam temasya dwitahunan itu harus dipuji dan Kim Swee sendiri tidak menyembunyikan perasaan bangga di atas persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya.

"Secara keseluruhan, pemain telah memberikan segala-galanya. Itu amat penting dalam tempoh singkat yang kami ada dan mereka telah membuktikan bahawa kami mampu menyaingi mana-mana pasukan dalam Asia Tenggara.

"Saya yakin kami berada di landasan tepat seandainya momentum ini dapat diteruskan," tambahnya.