Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, mengingatkan anak buahnya usah dibuai mimpi dengan kejayaan menundukkan Singapura sebaliknya terus memberikan fokus untuk misi membenam Myanmar dalam perlawanan ketiga Kumpulan A, Isnin depan.

Skuad muda negara selangkah untuk mara ke separuh akhir susulan kemenangan 2-1 ke atas Singapura di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ia kemenangan kedua Malaysia selepas menewaskan Brunei 2-1 dalam perlawanan pembukaan Isnin lalu.

Berbekalkan enam mata setakat ini, Kim Swee tidak mahu kejayaan itu mengaburi prestasi pemain-pemainnya untuk aksi getir berdepan Myanmar.

"Kami perlu menewaskan Myanmar untuk layak (ke kalah mati).

"Ia bukan aksi mudah dan kami masih mempunyai dua lagi perlawanan (peringkat kumpulan).

"Apa yang lebih penting, kami fokus kepada aksi menentang Myanmar sebelum beralih kepada pertemuan dengan Laos," ujarnya.

Kim Swee yang membuat penampilan keempat di pentas Sukan SEA kini menuntut anak buahnya mengelak melakukan kesilapan mudah.

Ia susulan gol yang dibolosi ketika bertemu Brunei dan Singapura adalah berpunca daripada kesilapan pemainnya sendiri.

"Kami hilang tumpuan dan hilang penguasaan akibat kesilapan hantaran.

"Itu tidak sepatutnya berlaku.

"Kalau kami ingin mara jauh, jika layak ke peringkat seterusnya, kami harus menghentikan kesilapan seperti ini."