KEMBOJA 0 FILIPINA 2

Filipina memimpin Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA 2017 selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Kemboja di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.


Skuad kendalian Marlon Maro itu memasang impian untuk memadam kenangan pahit apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot pada edisi dua tahun lalu.

Bertemu dengan lawan yang sama untuk perlawanan pembukaan pada dua tahun yang lalu, kedua-dua pasukan awalnya gagal menghasilkan permainan cemerlang dalam separuh masa pertama untuk mencari jaringan sulung.

Filipina akhirnya berada di hadapan pada minit ke-51, Reymart Cubon berjaya menanduk masuk hantaran daripada Javier Auguestine menerusi sepakan sudut.

Jaringan kedua Filipina menyusul pada minit ke-82 selepas sepakan percuma Kou Ichi menewaskan penjaga gol Kemboja, Um Serei Rath.

Malam Kemboja terus dihimpit kekecewaan apabila terpaksa menghabiskan perlawanan dengan 10 pemain selepas Choum Pisa dilayangkan kad merah gara-gara menumbuk seorang pemain Filipina ketika satu situasi sepakan sudut.

Kemenangan ini menyaksikan mereka membalas dendam ke atas Kemboja yang meraih kemenangan 3-1 pada edisi sebelum ini.

Malah, ia turut menebus kekalahan 1-0 Filipina kepada Kemboja dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun, Julai lalu.